Murid tahun tiga cedera jatuh dari beranda sekolah di Long Bemang, Miri


MIRI: Seorang pelajar perempuan berusia sembilan tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang, Apoh cedera selepas terjatuh dari beranda sekolah kayu, Rabu lalu. Bagaimanapun, mangsa yang merupakan pelajar tahun tiga itu mengalami luka kecil di kepala, bahu dan tangan kanannya namun dilaporkan stabil sebelum dibenarkan discaj semalam.

Difahamkan, pelajar terbabit dipercayai bersandar di papan penahan beranda sekolah itu sebelum ia roboh.

Bapanya, Yulius Merang, 42 tahun ketika dihubungi Astro AWANI berkata, kanak-kanak itu sudah beransur pulih dan keputusan pemeriksaan x-ray juga mendapati tiada sebarang kecederaan teruk.

“Kejadian berlaku pada jam 9 pagi. Salah seorang guru menghubungi sebelum saya bawa ke Klinik Long Lama. Namun kami diminta untuk merujuk ke Hospital Miri.

"Syukur, pemeriksaan di Hospital Miri mendapati beberapa luka dikesan iaitu di kepala, bahu dan tangan kanan, sekarang ini dia berehat tetapi masih sukar untuk berjalan akibat kemalangan itu,” katanya kepada Astro Awani.

Yulius yang tidak mahu kejadian sama berlaku kepada pelajar yang lain memohon agar infrastruktur sekolah kayu itu dibaik pulih dengan segera.

“Selepas lebih 40 tahun rasanya, sekolah itu tetap sama, masih dengan struktur kayu, sebagai ibu bapa kami sangat susah hati, syukur Tuhan sudah melindungi anak saya.

“Saya dah ajukan perkara ini kepada pihak berwajib supaya ada tindakan segera untuk membaik pulih sekolah ini, kerana terlalu lama tiada perubahan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata permohonan untuk baik pulih SK Long Bemang telah diluluskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tahun lalu di bawah Projek Bina Baru Sekolah daif dengan peruntukan lebih RM5 juta.

Bagaimanapu katanya, projek yang sepatutnya bermula tahun 2021 itu terpaksa ditangguhkan kerana beliau mahu tapak sekolah tersebut dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat daripada bencana banjir.

"Kawasan Long Bemang termasuk kawasan sekolah tersebut selalu mengalami banjir dan perkara ini merisaukan saya, jadi kami sedang membuat rayuan kepada kementerian bertanggungjawab untuk memindahkan lokasi asal sekolah di tapak yang lebih selamat untuk keselamatan jangka panjang.

"Apa yang berlaku ini di luar dugaan, sementara ini kita sudah meminta supaya pihak PIBG untuk mengenal pasti kawasan yang berisiko di sekolah berkenaan untuk segera dibaik pulih,” katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Jumaat.

 

Previous Post Next Post