Kira-kira 100 pelajar di Kampung Kuala Gris, Kuala Krai terkandas apabila kereta api yang sepatutnya tiba jam 7 pagi tidak berhenti di hentian tersebut pada Ahad. |
KUALA KRAI - Kira-kira 100 pelajar di Kampung Kuala Gris, di sini terkandas apabila kereta api yang sepatutnya tiba jam 7 pagi tidak berhenti di hentian tersebut pada Ahad.
Kejadian berlaku ketika Sinar Harian membuat tinjauan sempena hari pertama persekolahan selepas Kelantan memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Rata-rata pelajar yang bersemangat ke sekolah hari ini melahirkan rasa sedih apabila kereta api yang sepatutnya dinaiki mereka tidak berhenti di Stesen Kuala Gris.
Selepas menunggu 30 minit di hentian tersebut mereka mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan tidak hadir ke sekolah pada hari pertama ini.
Hal ini kerana jika hendak ke sekolah mereka perlu menaiki kenderaan sejauh 10 kilometer yang akan mengambil masa 25 minit berbanding menaiki kereta api hanya 17 minit.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong, Siti Masitah Mat Nasir, 18, berkata, pagi ini dia bersemangat bangun seawal jam 5 pagi untuk ke sekolah.
"Hari pertama mestilah seronok dan teruja tetapi sedih bila kereta api tidak berhenti.
"Saya nak ke sekolah sukar kerana ibu dan ayah sudah keluar bekerja jadi terpaksalah pulang ke rumah sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, dia dan rakan-rakan lain mengambil keputusan untuk pulang ke rumah.
Sementara itu, Penghulu Mukim Kuala Gris, Badrul Shahudin ketika ditemui di lokasi berkata, beliau telah menghubungi pihak Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) memaklumkan kejadian tersebut.
"Saya pun terkejut dengan kejadian pagi ini dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Jika dahulu kereta api lama ia boleh patah balik tetapi Tren Diesel Multiple Unit (DMU) ini dah tidak boleh berbuat demikian," katanya.
Pelajar-pelajar di Kuala Gris mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan tidak hadir ke sekolah pada hari pertama selepas ditinggal kereta api.
Menurutnya, diharap perkara ini tidak berulang kerana hari ini hari pertama persekolahan di Kelantan dan mereka sangat teruja.
Dalam perkembangan lain, KTMB ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu akan dilakukan secara lebih terperinci.