COVID-19: Gelembung selamat asrama bocor

Imej hiasan

PETALING JAYA – Penularan Covid-19 yang melanda sekolah berasrama penuh di beberapa buah negeri sejak beberapa hari lalu menjadikan lokasi gelembung selamat itu mulai bocor dan semakin ramai pelajar mula dijangkiti virus berbahaya itu. 


Keadaan itu membuktikan kemasukan orang luar ke dalam kawasan sekolah dan asrama menjadi punca utama penyebaran virus kerana umum mengetahui setiap pelajar yang ada di situ telah disaring terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk. 

Selain itu, tindakan sesetengah pihak yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak menjaga penjarakan fizikal, enggan memakai pelitup muka dan gagal menggunakan cecair pembasmi kuman ketika berada di asrama juga antara punca penularan Covid-19. 

Pakar Virologi dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya. Dr. Yahya Mat Arip berkata, kawasan sekolah berasrama penuh menjadi gelembung selamat buat pelajarnya sekiranya SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dipatuhi. 

Beliau tidak menolak kemungkinan ia disebabkan jangkitan dari luar sekolah, namun siasatan perlu dijalankan. 

“Penularan menjadi bertambah mudah apabila SOP dalam kawasan sekolah seperti penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka dan cecair membasmi kuman tidak dipatuhi. 

“SOP di sekolah berasrama penuh sudah cukup. Oleh itu kita perlu melihat tentang kakitangan pula termasuk guru, petugas pentadbiran, petugas dewan makan dan orang luar yang memasuki sekolah atas urusan tertentu,” katanya ketika dihubungi. 

Tambahnya, pelajar hanya berada di sekolah tetapi pihak lain sangat terdedah kepada jangkitan di luar sekolah. 

Menurut Yahya, pelajar asrama mungkin dijangkiti Covid-19 yang dicetuskan oleh transmisi virus varian baharu seperti Omicron yang 70 kali lebih pantas berbanding Delta. 

“Mereka yang sudah dijangkiti boleh menjangkiti pula kepada orang lain dalam tempoh kira-kira 15 minit,” katanya. 

Ujar Yahya, jika 30 pelajar berada dalam bilik asrama, ia boleh menjangkiti mereka semua dalam tempoh seminggu tanpa disedari. 

“Pematuhan SOP sangat pen­ting dan pemberian dos penggalak perlu disegerakan,” katanya. 

Sementara itu, pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berpendapat penularan itu disebabkan kegagalan mematuhi SOP. 

Katanya, SOP tersebut adalah sangat baik dalam usaha membendung jangkitan Covid-19. 

“KPM perlu siasat sama ada berlaku kelompongan dalam aspek pematuhan kerana ibu bapa mula bimbang dengan keselamatan anak mereka di asrama. 

“Ada yang kata mahu ambil anak mereka di asrama pulang ke rumah. Kita juga berharap kementerian ada pelan untuk proses pembelajaran buat pelajar-pelajar yang terjejas,” katanya.
Previous Post Next Post