Bekas pelajar cemerlang SPM hina agama dalam Facebook didakwa

MOHAMMAD Syafiq Iqbal Mohammad Helmi mengaku tidak bersalah menggunakan Facebook untuk memulakan penghantaran komunikasi jelik di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / NORHAYATI YAHAYA

SHAH ALAM: Seorang bekas pelajar cemerlang yang memperoleh 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2008 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana memulakan hantaran komunikasi jelik hina agama dalam Facebook pada Disember 2019

Mohammad Syafiq Iqbal Mohammad Helmi yang juga seorang penganggur bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Syafiq, 31, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook dari akaun ‘Syafiq Iqbal’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik di Subang Hi-Tech Industrial Park, Subang Jaya pada pukul 4.41 petang, 23 Disember 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Fazril Sani Mohamed Fadzil mencadangkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan melapor diri di pejabat SKMM terdekat setiap bulan.

Peguambela, Nurul Ikrimah Mohd. Raya bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh adalah seorang pelajar cemerlang dan pernah melanjutkan pengajian peringkat Matrikulasi di Gopeng, Perak tidak mempunyai pekerjaan serta masih ditanggung oleh keluarga.

“Mohammad Syafiq yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan masih bujang mempunyai masalah ‘depression’ (tekanan jiwa) selepas kedua ibu bapanya bercerai. Dia juga berada dalam jaminan polis tetapi tetap hadir ke mahkamah hari ini dan pihak kami memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana RM5,000 agak membebankan,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 21 Februari ini. – UTUSAN ONLINE

 

Previous Post Next Post