44 murid sah positif Covid-19


KOTA BHARU: Seramai 44 pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Jalan Telipot di sini, disahkan positif Covid-19, sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kluster membabitkan pelajar terbabit diisytihar sebagai Kluster Embi Telipot pada 14 Januari lalu.

Katanya, berdasarkan siasatan, seramai 256 kontak rapat dikenal pasti setakat ini.

“Kesemua kontak rapat ini diarahkan untuk menjalani kuarantin, selain dinasihatkan supaya menjalani saringan sekiranya mengalami gejala dalam tempoh itu. Sehingga semalam, seramai 44 pelajar dikesan positif Covid-19 dan kesemua mereka membabitkan pelajar asrama sekolah itu,” katanya hari ini.

Dr. Zaini juga berkata, Pejabat Kesihatan Kota Bharu mencadangkan supaya proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka sekolah itu ditangguhkan bermula hari ini sehingga 25 Januari ini.

Mengulas khabar angin tular kononnya kes berpunca daripada seorang pelajar yang mana ibu bapanya baru pulang dari umrah dan disahkan dijangkiti varian Omicron, Dr Zaini berkata, dakwaan itu tidak benar.

Katanya, belum ada keputusan membabitkan varian Omicron bagi sampel ibu bapa pelajar berkenaan namun siasatan lanjut bagi mengesan punca kes Covid-19 di sekolah itu sedang dilakukan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan mesej yang tidak benar kerana boleh menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa dan masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Previous Post Next Post