SK Keledang Jaya antara yang diarah tutup |
NIBONG TEBAL, 18 Jan - Sepuluh sekolah yang berada berhampiran dengan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini yang terbakar sejak beberapa hari lepas diarah tutup selama tiga hari bermula esok.
Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, SJKT Ladang Changkat, SJKT Nibong Tebal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, SK Keledang Jaya, SK Nibong Tebal, SK Methodist, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong dan SMK Methodist.
Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad ketika dihubungi Bernama berkata buat permulaan semua 10 sekolah termasuk dua sekolah menengah itu akan ditutup sehingga 21 Jan ini.
"Keputusan berikutnya (sama ada akan terus ditutup selepas tiga hari itu) akan dibuat selepas kami melihat perkembangan situasi kebakaran tersebut dari semasa semasa," katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Selatan (KPPDS) Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata keputusan penutupan 10 sekolah itu dibuat selepas Mesyuarat Bencana Daerah yang dijalankan semalam.
Mohamad Dziauddin berkata keputusan itu diambil selepas mendapati indeks udara dalam lingkungan radius 10 kilometer (km) termasuk sekolah tersebut berada pada tahap AEGL 3 (Acute Exposure Guidelines Level) iaitu kepekatan udara yang memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk.
Kebakaran di Pulau Burung |
"Hasil daripada keputusan mesyuarat tersebut, maka kami memberi kebenaran kepada 10 sekolah berkenaan untuk menutup sesi persekolahan dan sebarang keputusan lanjut akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada Sabtu ini tentang status pengoperasian sekolah semula berdasarkan keputusan dan nasihat daripada Jawatankuasa Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya pengurusan sekolah diminta untuk memaklumkan kepada guru-guru, ibu bapa, pengusaha kantin, pengusaha bas dan pihak-pihak lain yang berkaitan berhubung penutupan sekolah supaya tindakan persediaan awal dapat dibuat oleh pihak terlibat.
"Sepanjang tempoh penutupan operasi itu pelajar dan murid akan mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan pihak sekolah turut diminta menyediakan petugas pada pagi esok (Rabu) bagi menguruskan murid sekiranya mereka hadir disebabkan tidak menerima maklumat penutupan ini," katanya.
Beliau berkata sepanjang tempoh itu juga, warga sekolah diminta untuk memakai pelitup muka, mengurangkan aktiviti luar dan sekiranya tidak sihat, segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan.
- BERNAMA