Shamrahayu kesal kerana kes buli ditangani secara bermusim kerana kes yang berlaku akan kembali sunyi seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku apabila keadaan kembali tenang. - Gambar fail |
KUALA LUMPUR : Mana-mana individu yang menyedari terdapat kejadian buli khususnya melibatkan pelajar namun tidak membuat aduan boleh dianggap sebagai bersubahat dan terlibat secara tidak langsung.
Pakar Perlembagaan Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, mungkin tidak ramai yang menyedari situasi berkenaan yang sememangnya terkandung di dalam undang-undang.
“Jika kita rujuk undang-undang, kes yang boleh datangkan kecederaan terhadap mana-mana pihak, terutamanya pelajar, tetapi mereka (saksi) diamkan diri, maka mereka juga terlibat secara tidak langsung dalam perlakuan jenayah itu.
“Gejala buli mungkin perlu menggunakan istilah yang lebih berat yang mampu menunjukkan kesan akibat perbuatan tersebut.
“Perbuatan mendera atau mempermain-mainkan orang lain dengan tujuan menggertak, mencederakan atau menakutkan orang yang lebih lemah adalah terlalu ringan untuk digunakan dalam konteks ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, gejala buli bukan lagi perkara asing di negara ini malah telah dibahaskan pada peringkat tertinggi.
Namun, katanya, perkara itu dilihat 'bermusim' berdasarkan kes yang dilaporkan akan kembali ‘sunyi’ seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku apabila keadaan kembali tenang.
“Saya percaya pihak berwajib juga telah bertindak. Tindakan telah diambil sewajarnya, namun yang pasti, apa yang jadi, harapan kita ialah, kisah seperti ini tidak lagi berulang.
"Apa tindakan yang lebih berkesan? Pihak berkuasa yang berkaitan pasti lebih tahu,” katanya lagi.
Katanya lagi, usaha secara menyeluruh diperlukan untuk mengatasi isu berkenaan bagi memastikan ia bukan hanya menjadi isu yang bermusim.
Baru-baru ini tular mengenai insiden buli melibatkan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar, Perak.