PUTRAJAYA, 2 Dis - Penganjuran sukan secara dalam talian menjadi platform baharu untuk membolehkan murid kekal aktif dan menonjolkan bakat sukan masing-masing walaupun berada di rumah ketika pandemik COVID-19, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
Berucap merasmikan majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (KPM-MSSM-Milo) 2019 secara maya hari ini, beliau berkata platform itu juga membantu golongan guru untuk menggilap bakat dan potensi murid dalam bidang sukan.
Menurutnya, Pertandingan Kemahiran Sukan MSSM secara dalam talian 2021 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM), membolehkan atlet murid melakukan aktiviti sukan di kediaman masing-masing secara dalam talian, telah menarik seramai 46,269 peserta ketika diadakan mulai Ogos hingga Oktober lepas.
“Kemahiran sukan yang dipertandingkan secara rakaman video ini bukan sahaja menjadi platform bagi mengenal pasti bakat baharu malah dapat mempersiapkan atlet murid untuk bertanding dalam mana-mana kejohanan sukan pada masa akan datang,” katanya.
Radzi berkata pandemik COVID-19 memberi kesan kepada sektor pendidikan dan sosial terutamanya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan COVID-19, yang menyebabkan aktiviti sukan, latihan dan pertandingan secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.
“Namun demikian, keadaan ini tidak menghalang guru untuk menjadi lebih kreatif dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi bagi meneruskan pembelajaran termasuk menggilap potensi murid dalam bidang sukan,” katanya.
Dalam pada itu, Radzi berkata usaha dan peranan MSSM dalam mencungkil serta membentuk bakat atlet murid telah berjaya melahirkan golongan atlet murid cemerlang sukan dan akademik selain memegang jawatan yang bagus.
Antara atlet tersebut adalah gimnas negara, Lok Mei Hui, yang merupakan pelajar terbaik aliran Sains apabila memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2020; dan jaguh basikal negara, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo diadakan setiap tahun bagi meraikan kejayaan dan mengiktiraf atlet, jurulatih sukan, golongan pendidik dan warga KPM yang cemerlang dalam bidang sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo 2019 menyaksikan gimnas kebangsaan, Izzah Amzan muncul sebagai penerima Anugerah Emas - BERNAMA