PENDANG - Sesi persekolahan secara bersemuka yang dilaksanakan di negeri fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berupaya mengatasi masalah keciciran pelajar dalam tempoh pandemik.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang dijalankan selama ini tidak mendekatkan pelajar dengan sistem persekolahan.
Menurutnya, oleh sebab itu pihaknya mengambil keputusan membuka semula sesi persekolahan bersemuka walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.
"Bila sekolah ditutup untuk tempoh panjang, walau PdPR dilaksanakan namun perasaan murid itu renggang dengan sistem persekolahan.
"Sebab itu, walaupun ramai kata sekolah jangan dibuka dahulu, tetapi kita sudah berbincang bahawa amat penting untuk kita buka sekolah," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun di sini pada Ahad.
😭😭😭
— Maszlee Malik 🏴🇲🇾 (@maszlee) December 5, 2021
Semenjak Mac 2020 sehingga Julai 2021 seramai 21,316 anak-anak telah berhenti sekolah!!!
Apakah yang telah berlaku kepada Malaysia???
Ya Allah selamatkanlah negara dan bangsaku dari ketidaktentuan masa hadapan dek kebobrokan para penguasa yang jadong 🤲 pic.twitter.com/EKtpKdB7gl
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai 21,316 pelajar yang berhenti sekolah sejak Mac 2020 menerusi ciapan di Twitter pada pagi Ahad.
Mohd Radzi berkata, pelajar perlu meneruskan persekolahan secara bersemuka supaya kerajaan dapat menentukan intervensi untuk merapatkan sistem persekolahan dengan pelajar.
"Ini juga membolehkan sebarang permasalahan berkaitan pelajar dapat dikenalpasti lebih awal dan langkah pencegahan dapat diambil dengan segera," katanya.