Pengawal keselamatan kongsi detik cemas sambut kelahiran di prasekolah


Masjid Tanah: Doa Nabi Yunus ketika dalam perut ikan paus dibaca seorang pengawal keselamatan wanita ketika menyambut kelahiran bayi perempuan di sebuah sekolah kebangsaan di sini, Isnin lalu.

Tanpa sebarang pengalaman menyambut kelahiran bayi sebelum ini, Jamiah Isnin, 55, menguatkan semangat untuk menyambut kelahiran bayi seberat tiga kilogram (kg) itu selepas ibu bayi itu yang berusia 37 tahun tidak sempat dibawa ke hospital.

Menyorot kembali pengalaman amat mendebarkan itu, ibu kepada lima anak berusia antara 18 hingga 34 tahun itu berkata, dalam kejadian pada 8 pagi itu, dia yang berada di pondok pengawal keselamatan diminta seorang guru supaya segera ke sebuah bilik di blok murid prasekolah.

"Setibanya di bilik itu, saya lihat seorang pembantu pengurusan murid (PPM) prasekolah sudah terbaring di atas meja sambil menahan kesakitan ingin melahirkan bayi kerana air ketuban sudah pecah.

"Saya memintanya menegakkan kaki dan meneran bayi sebelum saya membaca doa Nabi Yunus ketika dalam perut ikan paus.

"Alhamdulillah, tidak sampai 10 saat, tiba-tiba kepala bayi sudah keluar dan saya terus menyambutnya," katanya ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.

Jamiah berkata, dalam keadaan tangannya berlumuran darah, dia dibantu seorang kerani dikenali sebagai Zailan untuk menarik tali pusat bagi mengeluarkan uri.

Menurutnya, nasib menyebelahi mereka kerana ketika bergelut untuk menarik tali pusat itu, dua jururawat yang menaiki ambulans tibad di sekolah itu, sekali gus membuatkan Jamiah dan Zailan menarik nafas lega.

Katanya, ketika jururawat menarik tali pusat untuk mengeluarkan uri, dia sekali lagi membaca doa berkenaan dengan lebih kuat dan uri berjaya dikeluarkan dalam keadaan sempurna.

"Dalam keadaan kelam kabut dan tubuh agak gementar itu baharulah saya teringat, arwah ibu saya, Allahyarhamah Saerah Sudin adalah bidan kampung dan mungkin saya sedikit sebanyak mewarisi ilmu menyambut bayi daripadanya.

"Arwah ibu dikenali dalam kalangan masyarakat Kampung Rantau Panjang, di sini sebagai bidan kampung yang membantu ramai wanita melahirkan bayi, termasuk bayi dalam keadaan songsang.

"Selepas tugas memotong tali pusat selesai, Zailan memandikan bayi itu dan kami bersyukur Allah mengizinkan si ibu melahirkan bayi dalam keadaan selamat," katanya.

Menurutnya, dia seolah-olah sukar untuk percaya apabila menyambut kelahiran bayi perempuan sedangkan selama ini tidak pernah berbuat demikian.

Bayi perempuan itu diazankan ustaz di sekolah itu sebelum dibawa bersama-sama ibunya ke Hospital Alor Gajah.

 

Previous Post Next Post