Jenis-Jenis Cuti Belajar Program Penajaan Kementerian Pendidikan Malaysia


LATAR BELAKANG CUTI BELAJAR/PROGRAM PENAJAAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menawarkan Cuti Belajar / Program Penajaan kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) untuk mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah (Ijazah Sarjana dan Kedoktoran) bertujuan untuk membangunkan warga pendidik yang kompeten bagi memenuhi keperluan strategik pendidikan negara demi memartabatkan Profesion Keguruan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Tahun 2013-2025. 

Setiap tahun, perancangan dan kelulusan Cuti Belajar / Program Penajaan bagi PPP adalah diselaraskan oleh Bahagian Profesionalisme Guru (BPG) serta Bahagian Biasiswa dan Pembiayaan (BBP) bertepatan dengan Perancangan Strategik Penajaan Dalam Pembangunan Profesionalisme PPP “Strategic Canvas”.

PENGENALAN CUTI BELAJAR/PROGRAM PENAJAAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

BBP, KPM menawarkan kemudahan program Hadiah Latihan Persekutuan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) untuk melanjutkan pengajian di peringkat pasca siswazah sama ada di institusi pengajian tinggi terpilih di dalam atau luar negara secara sepenuh masa atau separuh masa mengikut bidang dan pengkhususan yang telah ditetapkan. 

Pemberian kemudahan cuti belajar atau penajaan juga merupakan satu bentuk penganugerahan dan pengiktirafan kepada PPP yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dan berpotensi untuk menyumbang idea baharu serta kreatif dan berinovasi khusus dalam bidang yang diperlukan oleh KPM.  

Pegawai yang berjaya ditawarkan akan diberikan Cuti Belajar Bergaji Penuh sebagai mana yang diperuntukkan di dalam Perintah Am Bab ‘C’ Perkara 36. 

Sepanjang tempoh cuti belajar ini, pegawai mengisi Jawatan Latihan BBP, KPM. Tempoh cuti belajar ini layak diambil kira bagi tujuan perkiraan faedah-faedah persaraan. 

Pegawai layak unyuk menerima Elaun Biasiswa serta penajaan Yuran Pengajian. 

Pegawai-pegawai yang diperakukan untuk mengikuti Cuti Belajar / Program Penajaan ini hendaklah mempunyai pengetahuan, kemahiran, pengalaman, minat dan sahsiah yang baik serta sesuai bagi menentukan kejayaan dalam pengajian dan seterusnya akan dapat memberikan manfaat ke arah meningkatkan keberkesanan perkhidmatan dan organisasi.

Antara Cuti Belajar/Program Penajaan yang ditawarkan adalah seperti yang berikut: 
  1. Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa (CBBP DB) atau juga dikenali sebagai Hadiah Latihan Persekutuan (HLP); 
  2. Hadiah Latihan Persekutuan Separuh Masa / Sambilan (HLPS); 
  3. Hadiah Latihan Persekutuan Bagi Program Ijazah Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) [SPADA]; 
  4. Hadiah Latihan Persekutuan Bagi Program Khas Yang Menyokong Industrial Revolution (IR) 4.0. [IR 4.0]; dan 
  5. Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBP TB)
Bagi program CBBP DB atau HLP, PPP yang berjaya akan mengikuti pengajian secara SEPENUH MASA di Universiti Awam di dalam negara atau universiti luar negara seperti mana yang disenaraikan dalam 100 teratas berdasarkan The Times Higher Education (THE) World University Rankings atau Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings

Selain itu, PPP juga layak menerima penajaan yuran pengajian serta elemen biasiswa sepanjang tempoh pengajian. 

HLPS pula adalah program penajaan yang ditawarkan kepada PPP yang berhasrat atau sedang melanjutkan pengajian secara SEPARUH MASA ATAU SAMBILAN di universiti awam di dalam negara. 

PPP yang menerima tawaran HLPS berkelayakan untuk menerima penajaan Yuran Pengajian, Elaun Buku dan Elaun Tesis.

Manakala bagi program CBBP TB, PPP yang berjaya akan ditawarkan untuk mengikuti pengajian secara SEPENUH MASA di Universiti Awam di dalam negara sahaja. Namun demikian, pembiayaan yuran pengajian adalah di bawah tanggungan sendiri sepanjang tempoh pengajian yang diluluskan

Ringkasan Kemudahan Cuti Belajar KPM



 

Muat Turun: Pengenalan

Muat Turun: Panduan Permohonan
Previous Post Next Post