Shah Alam: "Ketika ini, saya hanya mahu kematian mak disahkan dan dibawa ke hospital bagi urusan pengebumiannya," kata Khadijah Mohd Said, 49, yang kini terperangkap di rumah ibunya di Seksyen 19 dekat sini akibat banjir kilat.
Ibunya, Esah Hussin, 71, meninggal dunia jam 7.55 pagi tadi selepas dibawa naik ke tingkat atas rumah teres dua tingkat.
Turut terperangkap ialah tujuh individu iaitu suami Khadijah yang berusia 57 tahun, anak dan anak saudara yang berusia antara 8 hingga 24 tahun.
"Emak memang tidak boleh berjalan dan semalam kami cuba memapah dia naik ke tingkat atas kerana air sudah memasuki rumah bagaimanapun tidak berjaya kerana dia tidak larat.
"Pagi ini dia sendiri hendak naik dan kami berjaya memapah ke atas, bagaimanapun dia tiba-tiba mengalami sesak nafas dan terkena serangan angin ahmar.
"Saya mengajarnya mengucap (syahadah) dan membawanya ke katil untuk memeriksa nadi dan apabila kami periksa tekanan darah, bacaan 'error' manakala bacaan oksigen adalah kosong," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dia berkata, ibunya menghidapi penyakit buah pinggang serta jantung dan tidak boleh berjalan.
Katanya, pihaknya kini menunggu pasukan perubatan hadir dan mengesahkan kematian.
"Saya dimaklumkan paramedik sudah sampai tetapi mereka tak boleh masuk kerana air terlalu tinggi dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan pikap.
"Difahamkan jarak lokasi paramedik ke rumah ini dalam satu kilometer saja, sekarang kami masih menunggu untuk menguruskan jenazah emak serta membawa anak-anak keluar ke tempat yang selamat," katanya.