Dr Anuar Ahmad |
GOLONGAN guru perlu menghormati privasi anak murid dan tidak sewenangnya merakam video mereka untuk kandungan media sosial persendirian, kata pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad.
Beliau yang juga merupakan pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia memberitahu, selain menghormati privasi tindakan merakam video semasa mengajar juga menyalahi etika perguruan.
"Walaupun murid sekolah masih bawah umur, mereka juga mempunyai hak privasi yang perlu dihormati dan para guru tidak boleh sewenangnya mengambil video atau gambar mereka semasa sesi kelas.
"Tindakan itu juga tidak beretika kerana ia boleh mengganggu fokus guru mengajar dan sebagai pendidik tumpuan mereka peru diberikan kepada anak murid dan bukannya media sosial," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, setiap guru perlu ada kesedaran tentang hak privasi anak murid kerana tindakan berkenaan boleh mengundang aib kepada pelajar dan menjatuhkan martabat seorang guru.
Sementara itu, Anuar turut mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat menguatkuasakan larangan penggunaan media sosial dalam kalangan guru terutama ketika mengajar.
Katanya lagi, larangan itu melibatkan pembuatan sebarang video kandungan untuk akaun peribadi semasa tempoh pengajaran.
"Jika mereka (guru) mahu membuat video di luar waktu bekerja itu hak mereka, tetapi tidak sepatutnya waktu mengajar dimanfaatkan untuk membuat kandungan media sosial.
"Perkara ini perlu diambil perhatian dan sepatutnya guru perlu ada kesedaran tentang tugas dan tanggungjawab sebenar mereka," ujarnya.
Sumber — Majoriti