Guru maut, dua adik parah kemalangan mahu rai pengantin baru

NURUL Salikin meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Setiu.
FOTO ihsan Facebook keluarga.

Setiu: Kegembiraan sebuah keluarga besar meraikan sepasang pengantin baru berakhir tragis apabila seorang daripada mereka meninggal dunia manakala dua lagi parah dalam kemalangan di Jalan Telaga Papan, di sini, pada 6 petang hari ini. 

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa yang juga seorang guru, Nurul Salikin Abdul Aziz, 25, meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Setiu. 

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu kereta Honda City bersama dua adiknya dalam perjalanan dari rumah mereka di Chalok Kedai menghala ke Pantai Penarik Rhu 10 untuk mengambil gambar bersama pengantin dan keluarga. 

"Setibanya di tempat kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kereta sebelum terbabas dan terlanggar tunggul pokok di sebelah kanan jalan menyebabkan kereta itu terbakar. 

"Ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum api merebak dan mereka dihantar ke Hospital Setiu," katanya ketika dihubungi, malam ini. 

Afandi berkata, dua lagi penumpang parah adalah Siti Nur Ummi Nabihah Abdul Aziz, 19, serta Nur Qaseh Balqis, 10. 

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati ketika memandu pada musim hujan dan tidak memandu dalam keadaan mengantuk serta terlalu laju di jalan lurus.

 

Previous Post Next Post