KUALA LUMPUR - Beg sekolah dibawa murid termasuk di sekolah rendah, sememangnya berat dan ia disahkan menerusi laporan akhir Kajian Penilaian Beg Berat Murid Sekolah dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2018.
Laporan berkenaan ialah sebahagian daripada usaha diambil bagi membolehkan masalah itu ditangani menerusi pendekatan yang berkesan.
Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk P Kamalanathan berkata, kajian terbabit turut mencadangkan bagaimana standard antarabangsa harus diikuti sekolah, iaitu penetapan tahap beban beg yang sepatutnya dibawa murid mengikut peringkat umur dan berat badan mereka.
Beliau turut mencadangkan supaya murid hanya membawa buku mengikut jadual harian, manakala buku latihan atau bahan pembelajaran lain tidak dibawa setiap hari.
Pihak Kementerian Pendidikan (KPM), katanya, bersikap tegas supaya murid tahun satu, tahun dua dan tahun tiga membawa beg yang ringan ke sekolah.
Kamalanathan menegaskan, semua guru besar sudah dimaklumkan mengenai perkara itu, malah kumpulan berkenaan turut diingatkan membantu murid supaya beg dibawa ke sekolah tidak berat dan membebankan.
Namun, selepas hampir empat tahun kajian itu diumumkan, isu beg berat dalam kalangan murid masih tidak selesai dan terus hangat diperkatakan saban tahun pada setiap sesi persekolahan.
Terbaharu, seorang guru dan pempengaruh media sosial dengan 512,000 pengikut di Facebook yang sering mengetengahkan topik serta memperjuangkan isu pendidikan, Mohd Fadli Saleh, membangkitkan masalah beg dibawa pelajar semakin berat.
Menerusi kenyataannya, beliau berkongsi gambar sebuah beg sekolah dipenuhi buku.
“Beg murid tahun satu, berat weh, budak tahun satu ini besar mana lah sangat orangnya’. Sehari ada enam subjek. Satu subjek minima ada satu buku teks, satu buku aktiviti (sama besar dengan buku teks) dan satu buku tulis. Tiga buku untuk satu subjek. 3 buku x 6 subjek = 18 buku. Ada perlu bawa lebih dari satu buku tulis, ada pula buku teks Jilid 1 dan Jilid 2, buku aktiviti Jilid 1 dan Jilid 2. Bekal makanan lagi. Botol air lagi. Alat tulis lagi.
“Tak hairanlah ada yang komen tali beg anak mereka selalu putus. Berat sangat. Lebih merisaukan, takut ada efek pada tulang belakang. Pikul beg berat-berat naik tangga tingkat tiga. Berat mata memandang, berat lagi bahu anak-anak kita memikul,” katanya.
Melalui hantaran lain, Mohd Fadli berkongsi kisah di kelas seorang guru Matematik yang sedang mengajar bab jisim dan menimbang berat beg setiap murid tahun dua, sebelum mendapati purata berat beg mereka adalah antara lima kilogram sehingga 8.3 kilogram.
Beliau turut memaklumkan, cerita dikongsi seorang pengikut laman sosialnya mengenai situasi murid bersekolah di United Kingdom yang menunjukkan beg dibawa mereka lebih kecil daripada bekal makanan, sekali gus mewujudkan perbezaan ketara dengan keadaan dialami murid di Malaysia.
Lebih menyedihkan katanya, apabila membaca komen ibu bapa yang pernah menetap di luar negara serta menghantar anak mereka bersekolah di sana dan apabila pulang ke Malaysia, dihujani pertanyaan, mengapa situasi sekolah di negara ini tidak menyeronokkan.
Perkongsian dan isu dibangkitkan Cikgu Fadli mengenai beg sekolah berat menerima ribuan tanda suka dan komen yang bersetuju dengan apa diperkatakan, termasuk risiko kesihatan dialami murid, antaranya masalah tulang belakang.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, pakar kesihatan mengesyorkan berat maksimum beg sekolah digalas murid adalah 10 peratus dan beg tarik pula 20 peratus daripada berat badan semasa mereka.
Katanya, berat beg melebihi peratusan itu mampu mengganggu tumbesaran dan kesihatan anak murid dalam jangka masa panjang.
Menurut beliau, jika berat badan murid adalah 30 kilogram, beg galas sekolah mereka adalah maksimum tiga kilogram, manakala beg tarik pula enam kilogram.
“Kesihatan anak-anak ini adalah keutamaan kita kerana sudah tentu mereka tidak bersuara, tetapi hanya mampu mengeluh keletihan setiap kali pulang dari sekolah.
“Garis panduan berat beg sekolah perlu dikuatkuasakan sebaik mungkin demi kesejahteraan dan kesihatan murid,” katanya.
Datuk Dr Mohamad Ali Hasan |
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, isu beg sekolah berat digalas murid setiap hari perlu diberi perhatian serius kerana jika dipandang enteng dan berlanjutan, mampu memberi kesan bukan sahaja kepada tumbesaran, tetapi seolah-olah bersifat penderaan fizikal serta emosi kepada mereka.
“Perlukah anak-anak dan murid dibiarkan (terpaksa) membawa setiap hari bebanan beg tersebut? Apakah secara tidak langsung merupakan satu ‘penderaan’ kepada mereka yang sedang membesar itu?
“Kita inginkan anak-anak dan murid kita seronok datang ke sekolah tanpa bebanan yang sepatutnya tidak berlaku, sama ada disengajakan atau tidak disengajakan, khususnya di peringkat sekolah rendah,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Mohamad Ali berkata, usaha bersepadu harus dilakukan segera supaya bukan sahaja dapat menghentikan penderaan ‘senyap’ itu, tetapi juga apa yang lebih penting, mengelakkan gangguan dan tidak merencatkan tumbesaran serta kesihatan jangka panjang murid sedang membesar terbabit.
Masalah berkenaan katanya, diyakini mampu diatasi menerusi beberapa kaedah, antaranya kewujudan garis panduan berat beg sekolah bagi semua peringkat persekolahan oleh KPM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Cadangan lain, katanya, murid, guru, ibu bapa dan penjaga perlu mendisiplinkan murid untuk membawa buku keperluan pembelajaran mengikut jadual hari berkenaan sahaja.
“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau koperasi sekolah juga dicadangkan menyediakan loker berkunci yang disewakan kepada murid dan pelajar.
“Pihak sekolah sepatutnya melakukan pemeriksaan untuk mengukur berat beg sekolah dan mengenakan denda tertentu kepada pelajar yang tidak mematuhi arahan berat ditetapkan. Ini adalah untuk mendisiplin mereka supaya membawa buku atau bahan pembelajaran diminta guru atau tertera di jadual,” katanya.
Menurut Mohd Ali, peperiksaan kesihatan ke atas murid dan pelajar secara berkala juga perlu diadakan bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
“Tetapkan juga panduan kepada pihak swasta, pembekal, pereka beg sekolah untuk mengeluarkan rekabentuk yang tidak melebihi berat beg sekolah tertentu.
“Sentiasa mengadakan kempen dan iklan mengenai kepentingan untuk memastikan beg sekolah digunakan tidak melebihi had, demi kesejahteraan serta kesihatan anak dan generasi kita,” katanya.
Mengulas isu sama, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Johor, Mohd Tarmizi A Razak, berpendapat semua pihak sama ada KPM, pengurusan sekolah, guru, murid, PIBG dan masyarakat seharusnya berganding bahu untuk mengatasi isu beg berat.
Pihak terbabit, katanya, tidak wajar bersikap menunding jari mencari kesalahan satu sama lain atau bertindak memperbesarkan masalah berkenaan.
Tegasnya, walaupun cadangan meletakkan loker atau almari di kelas dianggap baik untuk mengurangkan bebanan murid membawa buku dan bahan pembelajaran, banyak pihak mengatakan kos penyediaannya tinggi dan memerlukan KPM mengeluarkan dana besar sehingga menyebabkan usaha itu masih gagal direalisasikan.
Mohd Tarmizi berkata, ada pihak berpendapat mungkin pengurusan sekolah dan PIBG boleh mengambil pendekatan sendiri untuk menyediakan loker, tetapi harus dingat bukan semua pihak berkenaan mempunyai kemampuan kewangan.
Lebih membebankan, katanya, sekiranya KPM, pengurusan sekolah dan PIBG perlu mencari kos susulan untuk menggantikan loker rosak akibat vandalisme atau mencari dana tambahan bagi memenuhi keperluan murid di sekolah dua sesi.
“Kita pun tak nak membebankan KPM, tetapi kita faham mungkin pelajar perlu membawa buku lebih kerana jumlah subjek kita sekarang tinggi yang menyaksikan keupayaan murid kita juga semakin lama semakin tinggi, jadi mungkin sebab itu perkara ini tercetus.
“Tetapi pada saya buku teks sekarang sudah tidak setebal dulu, malah buku sekolah rendah sekarang nipis, sebab itu saya pelik masih jadi isu beg sangat berat di peringkat persekolahan ini. Bila masih jadi isu di sekolah rendah, maknanya murid membawa semua buku teks, termasuk subjek lain yang tidak dipelajari pada hari sama atau mungkin bawa sekali dengan buku latihan,” katanya.
Bagi membantu mengelakkan murid terus terbeban dengan isu beg sekolah berat, katanya, ibu bapa atau penjaga harus memainkan peranan untuk memastikan jumlah buku dan barangan dibawa pelajar adalah mengikut jadual ditetapkan setiap hari.
Ada kes, kata Mohd Tarmizi, menyaksikan guru mendapati murid tetap membawa buku teks dan buku latihan walaupun subjek itu tidak dipelajari pada hari terbabit.
Ketika ditanya alasan mengapa tetap membawa buku itu, jelasnya, murid berkenaan memberikan jawapan tidak mahu asyik menyusun, memasukkan dan mengeluarkan buku seperti ditetapkan jadual, jadi membawa semua buku ke sekolah adalah pilihan terbaik.
“Kita tidak boleh salahkan ibu bapa dalam isu beg berat ini, cuma mungkin lebih baik kalau ibu bapa boleh beri kerjasama lebih, cuba tengok buku apa perlu dibawa anak, luangkan masa melihat apa buku dan barangan dimasukkan dalam beg anak, adakah mengikut jadual diberikan guru sama ada melalui salinan kepada murid atau menerusi aplikasi WhatsApp serta Telegram.
“Kita faham ibu bapa pun sibuk untuk mencari rezeki, terutama dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, namun kena juga luang masa untuk melihat jadual anak sebab kadang-kadang walaupun ada hari cuma ada empat subjek, lima subjek, tetapi murid bawa buku teks sampai sembilan, 10, bagaimana lah beg tak berat,” katanya.
Ketiadaan pemantauan secara komprehentif, katanya, mungkin menjadi punca isu beg berat itu tercetus, sehingga disensasikan dan tular.
“Saya melihat disebabkan tidak ada pemantauan yang begitu komprehensif daripada ibu bapa dan keluarga, mereka sendiri menjadikan isu ini satu isu besar,” katanya.
Artikel asal – Getaran, 1 Disember 2021