“Anak saya keciciran sekolah sudah dua tahun”

Imej via Sinar

SUNGAI PETANI - Masalah pengangkutan yang dihadapi seorang ibu tunggal menyebabkan dua anaknya tercicir daripada persekolahan sejak dua tahun lalu. 

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Akma, 34, berkata, dia hanya berniaga secara kecil-kecilan dan tidak mampu menyediakan perbelanjaan pengangkutan untuk anak-anaknya berusia empat dan sembilan tahun ke sekolah. 

Selain dua anaknya itu, Akma juga terpaksa berhenti menghantar seorang lagi anaknya berusia empat tahun ke tadika, manakala seorang lagi anaknya berusia dua tahun. 

Menceritakan nasibnya, Akma berkata, kereta jenis Proton Iswara yang dimilikinya telah daif dengan keadaan lantai yang sudah berlubang dan enjinnya kerap tidak boleh dihidupkan pada waktu pagi. 

“Kadang-kadang saya tak ada wang hendak isi minyak kereta. Rumah saya dengan sekolah sangat jauh, tak kan saya nak biarkan anak-anak berjalan kaki,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin. 

Akma berkata, walaupun kerajaan mengumumkan pembelajaran secara dalam talian, anak-anaknya juga tidak dapat mengikuti sesi pembelajaran terbabit kerana tidak mempunyai telefon bimbit. 

Akma sehubungan itu berharap sekiranya ada mana-mana pihak dapat membantu supaya anak-anaknya dapat kembali bersekolah demi masa depan. 

Sementara itu, nasib Akma turut mendapat perhatian aktivis masyarakat, Natipah Abu yang membawa keluarga berkenaan berpindah ke kawasan perumahan lebih selesa beberapa hari lalu.

 



Sumber - Sinarharianplus
Previous Post Next Post