Ada segelintir yang engkar arahan KPM - i-Guru


Seremban: Arahan segelintir pengetua supaya guru terutama untuk kelas peperiksaan untuk hadir dan memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih awal iaitu pada 2 Januari 2022 menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan guru terbabit. 

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya menerima aduan terdapat segelintir pengetua yang mengarahkan guru mereka hadir ke sekolah bagi meneruskan sesi PdP terutama membabitkan kelas peperiksaan pada 2 Januari ini. 

Katanya, pihak pengurusan sekolah sepatutnya mematuhi sepenuhnya arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menangguhkan pembukaan sesi persekolahan pada 9 Januari 2022. 

"Pada hakikatnya pengetua boleh mengarahkan guru hadir ke sekolah bagi meneruskan sesi PdP walaupun KPM sudah menetapkan pembukaan sesi bermula 9 Januari, tetapi mereka perlu terlebih dulu mendapatkan persetujuan guru dan ibu bapa. 

"Setakat ini pihak kami tidak pasti sama ada pengetua berkenaan sudah mendapat persetujuan sedangkan aduan ini diterima daripada pihak guru. 

"Situasi itu menimbulkan tekanan kepada guru terbabit ketika terdapat sebahagian daripada mereka yang belum bersedia selain ada kalangan yang perlu membantu keluarga berhadapan dengan musibah banjir, baru-baru ini," katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Beliau berkata, pengetua seharusnya memberikan ruang kepada guru menghabiskan cuti bagi mengelak mereka rasa terbeban dan dalam masa sama terdapat juga kalangan ibu bapa dan pelajar yang terjejas banjir. 

"Berdasarkan aduan, perkara ini membabitkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah harian biasa tidak berbangkit, walaupun mungkin segelintir sekolah, namun ia boleh mengundang masalah kepada guru," katanya. 

Sehubungan itu, Mohd Azizee berkata, pihaknya berharap pengetua dapat meraikan keperluan guru terutama mereka yang terbabit secara langsung dengan kejadian banjir. 

"Pengetua perlu prihatin dalam perkara ini kerana KPM mempunyai sebab untuk menangguhkan sesi PdP kepada 9 Januari susulan banjir melanda, sekali gus memberi ruang kepada pihak sekolah dan guru membuat persiapan untuk PdP dengan lebih lancar," katanya.

 

Previous Post Next Post