20 peratus murid Tahap Satu gagal kuasai 3M di Johor


JOHOR BAHRU: Dianggarkan 20 peratus murid Tahap Satu daripada sejumlah 131,281 murid di negeri ini dikesan gagal menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, berkata ia berikutan penutupan sekolah akibat penularan pandemik COVID-19 secara berterusan.

Sehubungan itu, Mazlan berkata, kerajaan Johor akan melancarkan program khas Didik Johor mulai tahun depan bagi mengatasi masalah berkenaan dalam kalangan murid Tahap Satu di negeri ini.

"Program perintis Didik Johor ini sudah bermula sejak bulan lalu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, Kempas dan Bakar Batu dan kita akan perluaskan ke seluruh Johor mulai Januari depan.

"Didik Johor ini adalah program kerjasama antara kerajaan Johor dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), yang dikelolakan Yayasan Bandaraya Johor Bahru mengikut modul dari Finland.

"Peruntukan RM450,000 disediakan bagi menyediakan kelas tuisyen bersama guru, bagi mempertingkatkan kemahiran 3M di kalangan murid keciciran.

"Ia lebih kepada kelas pemulihan bagi membantu murid Tahap Satu menguasai kemahiran 3M sekali gus meredakan bebanan guru di sekolah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Penjana KPT-CAP di Kompleks Warisan Johor Bahru, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mazlan berkata, seramai 500 graduan menganggur di negeri ini akan menerima manfaat daripada program Penjana KPT-CAP Negeri Johor.

Katanya, pelancaran program itu adalah bagi menguar-uarkan kepada graduan anak Johor dan yang bermastautin di negeri ini mengenai Sijil Perkhidmatan Makanan dan Perkhidmatan Baristar, yang akan diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

"Sejak dua minggu lalu pendaftaran sudah dibuka kepada graduan menganggur yang berminat di http://halaltalent.com/. Kursus sijil antara lapan hingga 15 bulan ini adalah percuma.

"Graduan yang mengikuti kursus ini akan diberikan elaun, makan minum dan tempat tinggal selain akan menjalani latihan sambil bekerja di premis McDonald sebagai pelatih pengurusan dan pengendali makanan.

"Mereka juga akan terus diserap bekerja secara automatik selepas tamat latihan. Program ini adalah bagi membantu graduan menganggur dan masih gagal mendapat pekerjaan berikutan wabak COVID-19," katanya.

 

Previous Post Next Post