“Saya sudah hilang kepercayaan sistem pelaksanaan SPM”


Belum pun ada sebarang respons dari KPM tentang isu pelaksanaan peperiksaan setara standard dan isu beban tugas guru, minggu ini timbul pula isu baru berkaitan jadual peperiksaan SPM 2021 yang dikatakan terlalu ketat dan tidak mesra murid-murid. Hinggakan pada cuti hujung minggu pun adakan peperiksaan. 

Tak sempat anak-anak kita nak 'bernafas' untuk membuat persiapan akhir sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Kesian mereka.

Saya sebenarnya sudah kurang berminat untuk berbincang tentang isu ini kerana sejak keputusan SPM 2020 lagi saya sudah hilang kepercayaan pada pelaksanaan sistem peperiksaan SPM. 

Saya tidak akan apologetik dalam hal ini. 

Bayangkan, di saat sistem pendidikan di seluruh dunia menunjukkan data penurunan pencapaian di dalam peperiksaan murid-murid mereka sepanjang tahun 2020, peperiksaan SPM 2020 di Malaysia pula sebaliknya menunjukkan peningkatan terbaik.

Data OECD 2020 juga menunjukkan penurunan keberkesanan pembelajaran di kalangan negara anggota OECD akibat pandemik. https://bit.ly/3iQ4yY3

Malah lebih menimbulkan tanda tanya apabila keputusan peperiksaan SPM 2020 adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2016 hingga 2019. 

Sedangkan semasa SPM 2016-2019 sekolah tidak ditutup dan murid-murid belajar dalam keadaan bersemuka sepenuhnya sepanjang tahun.  

Bagaimana untuk saya dengan mudah boleh percaya pada keputusan SPM 2020 yang menunjukkan pencapaian murid-murid lebih baik semasa pandemik berbanding pencapaian murid-murid yang tidak berhadapan dengan pandemik. 

Saya perlukan data dan bukti kukuh untuk percaya 'kesongsangan' ini.

Malangnya, bila diminta penjelasan, tiada bukti kukuh yang telah dibentangkan oleh pihak berkaitan untuk merasionalkan keadaan yang songsang dan 'pelik' ini. 

Sebab itu pada saya isu jadual SPM 2021 juga tidak banyak yang perlu dibincangkan. Buat apa nak dibincangkan kalau kita sendiri sudah hilang kepercayaan pada sistem itu.

Reputasi SPM mesti dipulihkan. Kebolehpercayaan dan kesahan SPM mestilah dipertahankan. Jika tidak, lama kelamaan SPM tidak ada nilainya. 

Cuma buat masa ini, pada saya eloklah jadual SPM 2021 disemak.semula untuk berlaku adil pada anak-anak dan guru-guru kita di seluruh negara. 

Berikan sedikit ruang untuk anak-anak kita 'bernafas' dan janganlah diganggu cuti hujung minggu guru-guru pengawas peperiksaan. Kebajikan mereka juga harus diipelihara.

Dr Anuar Ahmad 
Pensyarah 
Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti  
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 

Previous Post Next Post