Guru Penolong Kanan maut motosikal berkuasa tinggi terbabas


Kuala Berang: Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai di Pekan, Pahang meninggal dunia selepas lebih dua jam menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu (HHT) di sini, petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, Sohaimi Karim, 54, dari Taman Rendang Ixora, Pekan dikejarkan ke hospital kerana parah selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabas di Kilometer (KM) 411.2 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ajil di sini, pada 3.20 petang.

Mangsa yang bersendirian menunggang Suzuki GSR750 dipercayai dalam perjalanan pulang dari Batu Rakit, Kuala Nerus.

"Sebaik tiba di susur berselekoh ke R&R Ajil, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan hingga menyebabkannya tercampak.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di dada dan dikejarkan ke HHT untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi.

Mohd Adli berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada 5.44 petang.

Katanya, mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk saringan Covid-19 dan proses bedah siasat, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.
Previous Post Next Post