NUTP mohon jadual SPM diubah, i-Guru puas hati

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sudah membuat permohonan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membuat perubahan pada jadual Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Ia berikutan ada tarikh peperiksaan yang akan bermula pada 3 Mac sehingga 20 Mac 2022 itu, jatuh pada Jumaat dan Ahad.

Selain itu, tarikh jadual peperiksaan itu turut berada pada cuti akhir penggal 3 2021/2022 yang dijadualkan bermula pada 25 Februari sehingga 20 Mac 2022.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata ini kali pertama tarikh peperiksaan SPM jatuh pada Ahad iaitu cuti hujung minggu.

Katanya, hal itu amat mengecewakan kerana ia menunjukkan KPM tidak mengambil kira kebajikan guru yang perlu bertugas sebagai pengawas peperiksaan.

"Guru bukannya robot yang membuat tugasan berasaskan apa yang diprogramkan. Guru juga perlu rehat dan perlu ruang masa untuk urusan keluarga.

"Selain itu, calon SPM juga perlu ruang untuk ketenangan diri pada hujung minggu," katanya kepada BH.

Berdasarkan jadual SPM yang dipaparkan di portal rasmi Lembaga Peperiksaan Malaysia sejak beberapa hari lalu, mata pelajaran yang jatuh pada Ahad, 6 Mac adalah Prinsip Perakaunan Kertas 1, 2 dan 4 serta Al-Adab wa Al-Balaghah.

Pada Jumaat, 11 Mac pula mata pelajaran Al-Syariah, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Syari'ah Islamiyah, Turath Dirasat Islamiah, Maharat Al-Quran, Bahasa Punjabi, Manahij al-Umum Al-Islamiyah dan Pertanian.

Pada Ahad, 13 Mac pula, Pendidikan Seni Visual – Ujian Melukis, Pendidikan Muzik dan Reka Cipta manakala pada Jumaat, 18 Mac pula Bahasa Cina, Bahasa Iban, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun, Bahasa Semai, Bahasa Arab, Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu'asirah dan Turath Bahasa Arab.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, sebagai kesimpulan cuti penggal selama tiga minggu yang ditetapkan tidak dapat dimanfaatkan bersama keluarga.

Katanya, ini kerana hampir semua cuti itu perlu dipenuhi dengan jadual peperiksaan SPM.

"Justeru, NUTP memohon supaya KPM dapat membuat perubahan segera terhadap jadual berkenaan," katanya.

Sementara itu, Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan, berkara pihaknya tiada masalah dengan jadual SPM itu kerana mata pelajaran yang diadakan pada Jumaat dan Ahad adalah elektif sekali gus tidak membabitkan semua pelajar.

Mengenai tarikh peperiksaan yang jatuh pada cuti penggal dan boleh mengganggu cuti guru pula katanya, perkara itu tidak dapat dielakkan namun bukan semua guru yang ditugaskan menjadi pengawas peperiksaan.

"Jika pihak sekolah berjaya membuat kaedah penggiliran yang betul, saya yakin tiada isu guru tidak dapat berehat dan bercuti sepanjang tempoh peperiksaan itu.

"Menguruskan peperiksaan adalah sebahagian tanggungjawab guru, jadi mereka yang terbabit diharap dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin demi masa depan pendidikan anak-anak," katanya.

Mohd Azizee berkata, pihaknya juga berpuas hati apabila kerajaan mengumumkan jadual cuti penggal dan peperiksaan SPM dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

Katanya, ia membolehkan guru, pelajar dan ibu bapa membuat persiapan rapi dengan lebih terancang.

"Dengan penjadualan sekarang saya rasa guru, ibu bapa dan pelajar lebih faham dan mereka dapat bersedia dengan lebih baik sekali gus berusaha mendapat keputusan yang baik.

"Ini kerana SPM 2021 menggunakan format baharu di bawah Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)," katanya.

 

Previous Post Next Post