Murid Tahun Satu maut dilanggar van sekolah


SEPANG: Seorang murid Tahun Satu maut dilanggar van di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini hari ini. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad, berkata dalam kejadian 12.10 tengah hari itu, mangsa berusia tujuh tahun cedera di kepala dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati van berkenaan menghantar murid-murid ke sebuah tadika yang dijadikan transit, sebelum ke Kelas Fardu Ain (KAFA). 

Katanya, selepas menurunkan semua murid, pemandu van seorang wanita berumur 31 tahun bergerak tetapi mangsa yang terakhir turun dari van. 

 "Mangsa melintas di depan van yang bergerak itu lalu dilanggar dan cedera parah di kepala. 

 "Pegawai perubatan hospital swasta mengesahkan mangsa meninggal dunia dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk urusan bedah siasat. 

"Pemandu berkenaan dirakam percakapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Previous Post Next Post