Murid hadir ke sekolah tanpa vaksin COVID-19 berpotensi undang risiko - Pakar Kesihatan

KUALA LUMPUR : Murid yang tidak mendapat kebenaran ibu bapa untuk mendapatkan vaksin COVID-19 berpotensi mengundang risiko bukan sahaja terhadap dirinya malah kepada semua individu di sekolah. 

Pakar Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, golongan murid yang masih belum lengkap vaksinasi juga lebih terdedah kepada komplikasi yang lebih buruk sekiranya dijangkiti.  

“Dalam kalangan mereka (murid) sebenarnya mampu menerima komplikasi yang teruk diebabkan jumlah virus di dalam badan mereka jauh lebih tinggi. 

“Risikonya adalah sama seperti mana-mana individu yang mempunyai penyakit dan tidak memperoleh vaksin,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa. 

Mengulas lanjut, Mohd Dzulkhairi berkata, ibu bapa sepatutnya memainkan peranan yang lebih penting dalam memastikan keselamatan anak mereka terutamanya apabila sesi persekolahan secara bersemuka telah dibenarkan. 

Meskipun dorongan diberikan di peringkat sekolah, namun usaha itu memerlukan penglibatan ibu bapa sebagai penggalak bagi memastikan ianya selari dengan hasrat kerajaan untuk mencapai imunti kelompok. 

Ujarnya lagi, persekitaran sekolah yang selamat bermula daripada langkah pencegahan awal bagi memastikan penularan di sekolah boleh dikawal pada tahap minima.

Previous Post Next Post