Muat naik perkataan ‘lahabau’ di FB, bekas Timbalan Menteri Pendidikan mohon maaf

 


CYBERJAYA – Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching memohon maaf selepas tersalah memuatnaik gambar poster dengan menggunakan dialek tempatan di Melaka yang membawa maksud negatif dan kasar.

Menurut satu kenyataan permohonan maaf yang dibuat menerusi laman Facebooknya, Nie Ching berkata, niatnya hanya untuk berkempen melalui media sosial tetapi tersalah memilih ‘frame’ yang terdapat dalam laman sosial tersebut.

“Dalam keghairahan kempen media sosial ini, ramai petugas Pakatan Harapan, khususnya DAP, hampir tak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen.

“Namun, manusia tidak pernah lepas daripda kesilapan, termasuk diri saya sendiri.

“Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial. Saya cuma ingin berkempen melalui “frame” percuma yang boleh didapati di dalam facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut,” katanya hari ini.

Terdahulu tular tangkap layar di laman Facebook bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu yang memuat naik frame yang mengandungi perkataan ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’.

Bagaimanapun, frame tersebut telah dipadamkan selepas mendapat teguran dan kritikan daripada warga maya.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), lahabau merupakan bahasa kasar yang membawa maksud tidak berguna atau tidak boleh diharap.

Dalam pada itu, Nie Ching juga berjanji untuk lebih berhati-hati dalam memuatnaik sebarang bentuk kempen media sosial untuk Pilihan Raya Negeri (PRN Melaka).

“Saya berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini dalam memuatnaikkan bahan-bahan kempen media sosial untuk PRN Melaka.

Dengan menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua, terutamanya rakyat dan pengundi Melaka,” ujarnya.

Malakat Tribune
Previous Post Next Post