'Lebih baik naikkan gaji daripada tambah usia perasaraan' - CUEPACS


SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk kerajaan menaikkan had umur persaraan sedia ada kepada kakitangan sektor perkhidmatan awam buat masa ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, cadangan untuk meningkatkan had umur persaraan tidak sesuai dilakukan dalam tempoh tiga hingga lima tahun dari sekarang sehingga ekonomi negara semakin kukuh.

Menurutnya, keadaan ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan ketika ini juga mengakibatkan ramai rakyat masih menganggur serta sukar mencari peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan.

"Umur persaraan 60 tahun sudah memadai bagi keperluan semasa di negara ini. Sebarang cadangan untuk mengkaji semula had umur persaraan sedia ada tidak wajar kerana situasi semasa negara yang tidak sama dengan negara maju lain.

"Ketika ini kerajaan sedang berhadapan kekangan kewangan apabila banyak peruntukan disalurkan untuk memulihkan semula ekonomi dan membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Khamis, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mempertimbangkan semua aspek berhubung cadangan menaikkan had umur persaraan penjawat awam daripada usia 60 tahun ketika ini.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, situasi ekonomi yang tidak begitu baik juga mengakibatkan peluang pekerjaan baru di sektor swasta tidak dapat memenuhi permintaan dalam pasaran buruh semasa negara.

"Setiap tahun juga ratusan ribu graduan baharu menanti memasuki pasaran kerja dan mereka ini berharap dapat menikmati pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan.

"Jika kita terus meningkatkan had umur persaraan sedia ada, ia sudah tentu menyukarkan golongan muda mendapat peluang kerja yang baik.

"Kita tidak mahu mereka terpaksa melakukan pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakan sehingga mengakibatkan taraf hidup rakyat tidak meningkat walaupun negara semakin maju," katanya.

Beliau berkata, perkara lebih baik yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah meningkatkan dan memperkasakan skim gaji yang dinikmati oleh pekerja supaya taraf hidup semasa rakyat bertambah lebih baik sesuai dengan kos sara hidup semasa.

"Lebih baik kerajaan mencari jalan supaya merealisasikan gaji minimum RM1,200 selari dengan hasrat mahu meningkatkan purata pendapatan isi rumah kepada RM10,000 sebulan pada tahun 2025 dapat dicapai.

"Apabila gaji dapat ditingkatkan, sudah tentu simpanan untuk hari tua juga meningkat sekali gus membolehkan rakyat menikmati hidup lebih baik selepas persaraan kelak," katanya.
Previous Post Next Post