Laporan siasatan guru belum divaksin diasing dalam setor sekolah akan dibentangkan KPM


Ipoh: Siasatan terperinci akan dijalankan membabitkan dakwaan seorang individu yang mengaku guru sebuah sekolah menengah di sini, diasingkan di stor menyimpan barangan pekerja pembersihan kerana belum menerima vaksinasi Covid-19. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, siasatan dijalankan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga sudah dimaklumkan mengenainya.

Beliau berkata, laporan penuh siasatan akan dimaklumkan dalam masa terdekat oleh pihak KPM.

"Kerajaan negeri juga mengambil perhatian serius dakwaan ini kerana ia turut membabitkan aspek kesihatan serta kebajikan guru.

"Ia bagi memastikan semua pihak berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada pandemik. Kerajaan negeri ingin memastikan semua pihak sama ada guru, pelajar dan ibu bapa berada dalam keadaan sihat," katanya dihubungi melalui aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi tiga minit berkaitan perkara terbabit di aplikasi TikTok sebelum tular di Facebook.

Menerusi rakaman itu, individu terbabit berkata, dia pada mulanya diasing dan ditempatkan pihak sekolah di stor pendidikan jasmani sebelum ditukarkan ke stor berkenaan.

Menurutnya, stor terbabit hanya mempunyai meja dan kipas namun tiada kerusi serta palam untuk menggunakan barangan elektronik termasuk komputer riba.

Katanya, bilik berdindingkan zink itu juga menyebabkan dia kepanasan.
Previous Post Next Post