KPM putuskan tidak laksana pegoperasian semua sekolah secara berperingkat

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin merujuk kenyataan media KPM bertarikh 8 November 2021 berkaitan pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah. 

Sepertimana yang dinyatakan dalam kenyataan media tersebut, kemasukan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah serta kelas peralihan dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah adalah pada 21 November 2021 bagi negeri Kedah dan 22 November 2021 bagi negeri Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah. 

Kehadiran murid dalam kumpulan tersebut di sekolah harian adalah mengikut kaedah penggiliran. Manakala kehadiran murid di sekolah asrama sepenuhnya adalah tanpa penggiliran. 

Perincian mengenai kemasukan murid sekolah asrama sepenuhnya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa/penjaga.

KPM sentiasa memantau dan meneliti keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka semenjak dibuka semula bermula 3 Oktober 2021. Dapatan daripada pemantauan dan penelitian menunjukkan bahawa pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar dan teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0. 

Setelah mengambil kira dapatan ini serta situasi semasa pandemik COVID-19, KPM memutuskan kehadiran murid pada kali ini tidak dilaksanakan secara berperingkat namun mengekalkan kaedah penggiliran. 

Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat. 

KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.

Previous Post Next Post