KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini memberi komitmen Institut Pendidikan Guru (IPG) akan kekal relevan dalam melahirkan guru berkualiti tinggi.
Beliau berkata, bakal guru di IPG mempunyai peranan penting bukan saja membentuk ekosistem pendidikan malah membentuk generasi pewaris negara.
"Harapan saya anak-anak bakal guru Kementerian Pendidikan (KPM) ini kelak menjadi seorang pendidik lengkap dalam aspek ilmu dan sahsiah diri seterusnya mampu menjadi peneraju kepada pengukuhan ekosistem pendidikan negara.
"Saya menekankan, IPG kekal relevan, amat penting institusi ini menjadi institusi pendidikan guru yang mampu melahirkan guru berkualiti tinggi.
"Saya yakin, dengan tunjuk ajar yang baik, anak-anak didik IPG mampu lakukan terbaik untuk generasi pewaris negara," katanya menerusi Twitter, hari ini.
Beliau sebelum itu ke IPG Kampus Kota Bharu bagi sesi pertemuan dengan pelajar institusi berkenaan.
Kata Radzi, selain bertemu pelajar dan memberi kata semangat serta motivasi, beliau turut berkongsi cabaran dan perkembangan semasa sektor pendidikan negara.
"Saya sempat kongsikan cabaran serta perkembangan semasa sektor pendidikan negara, khususnya dalam mendepani pandemik COVID-19.
"Saya turut berkongsi mengenai konsep #SekolahkuSEJAHTERA. Konsep ini menekankan kepada 14 elemen penting bertunjangkan aspirasi KPM memupuk, membentuk dan membudayakan nilai-nilai penting kehidupan dalam kalangan generasi muda bermula daripada alam persekolahan," katanya.