22 November - Hari ini menyaksikan beberapa negeri lagi menerima masuk murid-murid ke sekolah setelah status Pelan Pemulihan Negara (PPN) berubah.
Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak sekolah dan juga PIBG untuk memastikan murid hadir ke sekolah dengan rasa gembira dan selamat.
Antara yang menarik perhatian adalah usaha pihak sekolah SK Bruas di Perak.
Murid-murid sekolah itu pagi ini disambut bak pengantin dengan pasukan kompang dan guru-gurunya yang berpakaian tradisional lengkap termasuklah guru lelaki dan juga guru perempuannya.
"Meriah hari ni. Anak-anak SK Bruas datang ke sekolah disambut dengan guru-guru berpakaian tradisional serta paluan kompang.
"Bukan senang nak dapat tengok suasana macam ini," kata Shahril Othman, guru sekolah berkenaan yang berkongsi foto-foto hari pertama sekolahnya di akaun Facebook beliau.
"Ada yang nak patah balik ke rumah sebab ingat datang kenduri kahwin," katanya.
Beliau berharap semoga aura positif dapat diserap untuk meningkatkan semangat anak-anak murid untuk belajar.
"Terima kasih kepada AJK PIBG yang sentiasa bersama warga sekolah dalam apa juga program sekolah," katanya lagi.