Guru divaksin, beri keyakinan kepada ibu bapa hantar anak ke sekolah



KUALA LUMPUR: "Jaminan guru dan kakitangan sekolah sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 memberi keyakinan kepada saya untuk menghantar anak ke sekolah."

Itu reaksi seorang ibu selepas menghantar anaknya, Muhammad Zayyan Ziqri Mohd Hafiz dan Nur Marissa Madeeha Mohd Hafiz, masing-masing Tahun Tiga dan Satu ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Maluri, di sini, hari ini.

Kakitangan swasta, Nur Athirah Najwa Amirudin, 38, berkata ibu bapa boleh menarik nafas lega selepas dimaklumkan kakitangan sekolah termasuk pengusaha kantin dan pengawal keselamatan sudah divaksin bagi memastikan persekitaran lebih selamat.

"Sudah tentu kita akan menjadi lebih yakin untuk hantar anak ke sekolah jika kakitangan sekolah sudah divaksin.

"Kita tawakal dan mendoakan yang terbaik serta dijauhi perkara tidak diingini. Saya juga dimaklumkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) di sekolah seperti pemakaian pelitup muka dan meja dijarakkan dalam kelas.

"Amalan SOP itu perlu dipraktikkan secara berterusan. Jangan ambil ringan penularan COVID-19 yang sudah menyebabkan ramai orang kehilangan nyawa," katanya.

Pengoperasian institusi pendidikan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka bermula hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan sebelum ini berkata, pengoperasian institusi pendidikan di bawah kementerian itu berdasarkan peralihan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 18 Oktober lalu.

KPM menetapkan jika sebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa berkenaan.

Ia membabitkan kemasukan bagi murid Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) sekolah rendah serta pelajar Tingkatan Tiga dan Empat sekolah menengah.

Kehadiran murid Tahap Dua (Tahun Empat, Lima dan Enam) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua sekolah menengah bagi Melaka, Selangor Kuala Lumpur serta Putrajaya akan bermula pada 8 November.

Tinjauan BH di SK Maluri di sini, mendapati ibu bapa mula menghantar anak seawal jam 6.50 pagi tadi yang kemudian diminta merekod suhu badan dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

Bagi memastikan tiada yang lalai terhadap pematuhan SOP termasuk pemakaian pelitup muka, beberapa guru ditempatkan di pintu masuk sekolah itu.

Sementara itu, kakitangan syarikat telekomunikasi, Azman Ali, 54, berkata setiap ibu bapa perlu memainkan peranan dengan tidak menghantar anak ke sekolah jika mempunyai gejala.

"Saya ada anak Tahun Satu, Umar Adrien bersekolah di kelas khas SK Taman Maluri. Jika ada sedikit gejala seperti selsema, saya tidak akan menghantarnya ke sekolah.

"Kita mahu menjaga keselamatan murid lain. Apabila sudah sihat sepenuhnya, anak boleh kembali ke sekolah. Perkara ini perlu diambil berat semua pihak terutama ibu bapa bagi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19," katanya.

Suri rumah, Zanariah Abu Hassan, 49, mengakui berat hati untuk menghantar anaknya, Siti Nur Raudah ke SK Taman Maluri, hari ini, kerana situasi semasa penularan COVID-19.

"Saya memang berat hati sedikit nak hantar anak ke sekolah kerana lebih gemar pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pada masa ini.

"Namun, kerajaan sudah umum murid boleh kembali ke sekolah maka kita akur. Saya harap semua SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa kepada sekolah diamalkan untuk kebaikan bersama," katanya.
Previous Post Next Post