Sumber: FB PPKI SK Gas, Sandakan |
SANDAKAN: Meyakinkan anak murid untuk menyertai pertandingan terutama mereka yang menuntut dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bukanlah satu perkara mudah.
Namun bagi seorang Guru PPKI Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, Muhamad Fazri Hassan, beliau nekad untuk membawa karya anak didiknya keluar dari zon selesa.
Walaupun perlu memberi mereka latihan yang banyak, namun sembilan muridnya berjaya menghasilkan 'karya agung' yang kemudiannya terpilih menyertai Pameran Artgeng peringkat kebangsaan 2021.
"Usaha ini berbaloi walaupun hanya mampu mengadakan sesi latihan dan bimbingan dalam talian, tetapi berupaya menempatkan diri dalam pameran sebegitu memang luar biasa.
"Pameran itu memberikan peluang kepada murid pendidikan khas untuk menonjolkan bakat dan usaha mereka," katanya
Tegas Muhamad Fazri, disebabkan bimbingan hanya mampu dibuat dalam talian, beliau sedaya upaya memastikan karya yang dihasilkan murid kemas dan teratur.
Katanya, sebelum mula melukis setiap murid melakukan beberapa kali percubaan pada kertas sebelum akhirnya menghasilkan lukisan pada kanvas bersaiz 6 kali 6 inci.
"Semestinya proses ini membuatkan anak murid saya tidak sabar dan berasa bosan kerana perlu melakukan benda yang sama berulang kali.
"Namun mereka tidak patah semangat," katanya yang turut dibantu Penolong Kanan Pendidikan Khas, Dian Linus.
Muhamad Fazri berkata, persiapan untuk mencuba nasib menyertai pameran itu bermula Januari lalu sebaik melihat iklan mengenainya.
Malah, percubaan kali ini juga adalah yang kedua selepas berbuat demikian pada 2019. Justeru berdasarkan pengalaman sebelum ini, mereka memulakan persiapan awal sebelum berjaya menyiapkannya pada bulan April.
Menceritakan proses menghasilkan lukisan berkenaan katanya, beliau bermula dengan mengenalpasti kekuatan murid dalam seni visual sebelum mengembangkan idea.
"Bagi murid tahun empat, karya yang dihasilkan mereka lebih menekankan kepada teknik pointilisme (menggambar secara tersusun daripada titik kecil hingga membentuk objek gambar) menggunakan media akrilik.
"Murid tahun enam pula, mereka menggunakan kemahiran berus dan akrilik," katanya.
Tambahnya, dalam mengenalpasti kekuatan murid beliau menggunakan sepenuhnya subjek Pendidikan Seni Visual.