5 kelebihan memanjangkan penggal persekolahan


PENGUMUMAN yang dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bahawa sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan sehingga penghujung Februari 2022 menimbulkan pelbagai reaksi daripada kalangan pendidik, ibu bapa dan masyarakat.

Keputusan sepenting ini sudah pasti mengambil kira banyak perkara serta rundingan dengan pelbagai pihak terutama membabitkan keselamatan dan kesihatan murid.

Kemasukan sesi persekolahan sesi Mac 2022 ini sebenarnya diputuskan berdasarkan perbincangan dan penelitian mendalam dengan pelbagai pihak termasuk pakar kesihatan, pendidik, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di samping pentadbir sekolah yang terdiri daripada pengetua dan guru besar.

Apakah kelebihan memanjangkan penggal persekolahan?

Murid akan kekal dalam kelas sama sehingga penghujung Februari 2022. Misalnya murid Tahun Satu akan masuk ke Tahun Dua hanya pada Mac 2022. Kaedah ini membolehkan guru memberi fokus bagi melaksanakan program pencapaian penilaian (intervensi) untuk melihat sejauh mana murid menguasai tahap kemahiran minima sebelum berpindah ke kelas selanjutnya.

Hal ini selari dengan dapatan kajian sekumpulan penyelidik tempatan ke atas proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang mendapati guru sukar untuk menilai kebolehan dan keupayaan tahap penguasaan murid. Keberkesanan PdPR sukar diramal walaupun pengajaran berlaku secara dalam talian. Tambahan pula, proses menilai pencapaian murid tahun ini sudah pasti menjadi persoalan utama. Penilaian atau intervensi yang tepat dapat menjayakan tahap penguasaan kemahiran minima murid.

2. Kaedah penilaian pencapaian murid lebih terbuka

Guru juga digalakkan bersifat lebih terbuka dan kreatif dalam proses menilai tahap kemahiran penguasaan minima dan tidak hanya tertakluk pada proses untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Ini akan memberi peluang kepada guru untuk memperbaiki pentaksiran secara keseluruhan dalam melihat perkembangan dan potensi murid sebelum bermula sesi yang baharu.

'Cuti' yang panjang ketika pandemik COVID-19 mencapai kemuncaknya, pasti melahirkan jurang generasi tercicir terutama murid yang tidak mempunyai kemudahan internet serta mereka yang tinggal jauh di pedalaman. Keselesaan murid kerana tidak hadir ke sekolah pasti menjadi suatu tekanan dan bebanan kepada guru. Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan PIBG serta guru dilihat sangat berperanan penting dalam proses pembukaan sesi Mac 2020 untuk bersama-sama memulihkan psikologi murid.

3. Ruang membudayakan SOP

Cabaran kemasukan sesi Mac 2022 adalah dari segi prasarana dan melazimkan tingkah laku murid mengenai prosedur operasi standard (SOP) di sekolah. Pihak sekolah dan guru wajib membudayakan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal serta belajar mengelakkan tempat yang sesak.

Suhu badan murid wajar dipantau setiap kali mereka bergerak ke kelas yang baharu. Hal ini menjadi sangat penting terutama bagi murid sekolah rendah kerana mereka lebih mudah terdedah pada jangkitan COVID-19. Apatah lagi mereka belum menerima vaksin.

Justeru, pelaziman dan pembudayaan SOP di sekolah seharusnya dimulai dengan guru dan warga sekolah yang lain. Guru adalah cerminan tingkah laku murid. Guru juga wajar memakai pelitup muka ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka serta mengamalkan SOP yang ketat bagi mendidik murid. Ibarat kata pepatah, "guru kencing berdiri, murid kencing berlari".

4. Pembukaan sekolah secara berperingkat

Satu perkara yang menarik perhatian masyarakat ialah pembukaan semula sesi persekolahan dilakukan secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 3 Oktober dengan kapasiti kehadiran murid ke sekolah ditetapkan 50 peratus daripada keseluruhan pelajar dan dijalankan secara penggiliran.

Dalam konteks ini, guru sewajarnya mengambil ruang dan masa yang ada bagi melihat tahap penguasaan minima murid sama ada murid berupaya membiasakan diri dengan norma dan SOP baharu. Pendek kata, murid sesi 2021 perlu dinilai tahap penguasaan kemahiran secara keseluruhan bagi persediaan untuk ke tahap seterusnya.

5. Mengatasi kelesuan murid

Ketetapan KPM yang tidak mewajibkan murid terutama sekolah rendah untuk hadir ke sekolah turut menyumbang kepada kelesuan murid menjelang sesi persekolah bersemuka bulan hadapan. Ini ditambah dengan sistem kehadiran sebanyak 50 peratus secara penggiliran. Di sinilah letaknya peranan guru dan pentadbir sekolah serta dokongan KPM bagi memastikan kelesuan murid untuk ke sekolah berkurangan. Kreativiti dan keterbukaan guru dikira penting dalam menangani isu ini supaya murid akan bersemangat ke sekolah.

Hal ini berlaku kerana murid yang sepatutnya berada di prasekolah kehilangan manisnya berada di prasekolah. Murid yang berusia lima dan enam tahun terlepas zaman keseronokan berada di prasekolah. Transisi murid Tahun Satu dan Tahun Dua wajar dilihat sebagai suatu usaha penting dalam menjamin murid tidak janggal berada di sesi yang baharu dengan ketetapan norma baharu. Di sinilah, peranan guru tahap awal kanak-kanak sangat penting dalam membangkitkan suasana persekolahan ketika sesi baharu dibuka.

Oleh Prof Madya Dr Zahari Ishak 
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
Previous Post Next Post